Sila klik

Sabtu, 15 September 2012

Malaysia : Selamat Hari Jadi

“ALLaH selamatkan kamu...ALLaH selamatkan kamu...ALLaH selamatkan kamu...”


Dari Perlis sampai lah ke Sabah, dari barat sampailah ke timur itulah pantai Malaysia, tanah Malaysia, tanah yang dilimpahi kesuburan buminya yang mengeluarkan hasil buminya, hasil pertanian hinggalah hasil petroleum, anugerah yang patut disyukuri dengan amanah oleh setiap warganya.



Pasti setiap warga memanjatkan syukur pada Allah, anugerah kehidupan yang selesa dan aman. Kita dapat menjalani rutin hidup dengan rasa tenang, keluar 'mencari makan' tanpa rasa takut malah carilah sedaya mungkin selagi ianya tidak menyalahi hukum. Tak kira apa bangsa kita, melayu, cina, india, kadazan, dusun, orang asal atau apa bangsa sekalipun kita dapat sama-sama berkerja, berniaga dan bersosial. Kepelbagaian bangsa atau majmuk inilah yang membawa bumi ini penuh barakah.


Perkhabaran yang buruk, yang penuh konflik, perang yang dasyat dan penindasan yang dapat kita saksikan setiap hari dari luar negara sedikit sebanyak mengajar kita erti keamanan. Sedikit sebanyak memberi kita tauladan bahawa amanah itu penting, warga yang amanah, pemimpin yang amanah, menjadi titik tolak pada pergolakan yang berlaku.

Terdetik juga ketakutan jika kita dicuba atau diuji seperti itu. Namun, kita diberi daya untuk meletakkan sesuatu yang sempurna ditempatnya. Penyatuan semua kaum di negara ini merupakan kunci utama. Hak kaum masing-masing diberi dengan adilnya mengikut nilai yang disepakati. Pengagihan dan persaingan ekonomi yang adil dan saksama pasti menjadi pemacu ke arah negara maju. Tiada kaum yang ditindas atau diketepikan, warga bebas mengamal sosio budaya mereka. Pemimpin melunaskan hak rakyatnya dan  rakyat menunaikan hak masing-masing. Semangat dan rasa kecintaan pada negara perlu ada dalam setiap diri warganya. Cinta yang perlu disubur dan dibajai sentiasa.


Hari ini umur Malaysia telah pun mencapai 49 tahun, umur yang muda bagi pembentukan  sesebuah negara bangsa, umur yang cukup matang dan berpengalaman jika ianya pada orang. Walaupun muda tak bererti mentah atau beringus. Kita sentiasa bergerak ke arah kematangan. Apa yang penting kita sedia dengan semangat menjadikan Malaysia sebagai tempat terbaik untuk warganya dan generasi pengganti pada suatu hari nanti.

Generasi yang berilmu adalah generasi yang berani, berani untuk melihat dalam pelbagai sudut, mengolah batasan dan kekangan yang dikenalpasti ianya halangan antara kaum, apabila halangan itu dapat dikikis sedikit demi sedikit maka pasti bangsa Malaysia yang sebenar-benarnya akan wujud di tanah ini.

Generasi Malaysia kini perlu yakin dengan semangat yang kental untuk berubah. Berubah demi negara. Momokkan untuk perubahan adalah warisan penjajah yang masih ada saki bakinya dalam diri kita. Berani dengan ilmu adalah seperti melangkah ke medan juang dengan pedang tajam menyilau. KINI TIBA MASANYA!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan