Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.