Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam adalah bertanggungjawab mempertahankan agama Allah.
Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.
''Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)'' (al-ahzab 21).
Semperna hari kelahiran Rasulullah ini elok makanya kita sama-sama menghayati satu khutbah yang membicarakan mengenai sambutan kelahiran insan yang mulia ini dalam konteks hari ini atau semasa, saudara boleh mendengarnya dengan klik pada link tersebut http://ekhutbah.wordpress.com/2013/01/18/khutbah-audio-53-sistem-islam-dinobat-ajaran-nabi-muhammad-s-a-w-dimartabat/
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Selamat Beribadat!!!
Acucubotrateh!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan