Sila klik

Selasa, 28 Ogos 2012

7 Kata-kata Hikmah Dari Saidina Ali r.a - Sejenak Bermuhasabah


Masa berlalu pantas meninggalkan perlakuan yang telah kita lakukan. Ada perkara yang baik dan ada perkara yang silap telah kita perbuatkan, kadang-kadang kita lupa, lalai dan merugikan atau mensia-siakan masa yang dianugerahkan.

Muhasabah diri amat bernilai sekurang-kurangnya apa yang baik diperkuatkan lagi, apa yang silap mudah-mudahan dapat diperbetulkan. Kesempatan atau detik hati untuk kita merenung diri adalah satu anugerah yang tak ternilai kerana kita diberikan hidayah untuk bermuhasabah diri kita.


Adakalanya untuk melakukan perubahan, seseorang itu memerlukan dorongan atau kata-kata sebagai penguat dan pembakar semangat. Di sini dapat kita kongsikan sebahagian kata-kata yang penuh hikmah. Diantara 7 kata-kata hikmah Saidina Ali r.a untuk tatapan dan renungan bersama :

1. Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan.

2. Kekayaan yg sebenar ialah akal , kepapaan yg sebenar ialah rosak akal . Sepi yang sebenarnya ialah kagum dengan diri sendiri dan kemuliaan yang sebenar ialah akhlak yg baik.


3. Bagi setiap nikmat ada kunci yang membukanya dan ada kunci yang akan menyelaknya yang mana kunci pembukanya adalah sabar dan kunci penyelaknya adalah malas.

4. Dua nikmat yang sering dilupakan ialah kesihatan dan keselamatan.

5. Kemarahan orang yang berakal dilihat pada tindak tanduknya dan kemarahan yang ada pada orang jahil itu dapat dilihat melalui perkataannya.

6. Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani.

7. Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.

Mudah-mudahan kata-kata penuh hikmah dari Saidina Ali r.a ini dapat memberikan semangat dan pedoman serta panduan untuk kita dalam perjalanan hidup ini. InsyaAllah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan